Monday, December 27, 2010

Teknologi Elektronik : Dari Mikro ke Nano

بسم الله ارحمن الرحيم

*untuk artikel asal, klik di sini

**admin berbesar hati  malah sangat-sangat teruja mengambil artikel ini, kerana terlalu banyak aplikasi daripada subjek-subjek yang dipelajari..malah, teringat perkara-perkara yang diajarkan oleh Dr. Ernie  dgn Dr.Azwani..semoga  sahabat-sahabat sekalian turut dapat mengaplikasi apa yang dipelajari, malah bertambah kefahaman tentang subjek-subjek fizik...

December 4th 2010 | Posted by editor
Oleh : Mohd Faizal Bin Aziz
Sejarah awal
Saiz mikro dalam siri pengukuran menunjukkan nilai satu per sejuta (10-6). Satu mikrometer bersamaan dengan satu persejuta meter atau pun boleh disebut satu dibahagi sejuta meter. Saiz nano pula menunjukkan nilai yang lebih kecil iaitu satu per bilion (10-9) . Contoh paling mudah ialah satu nano gram ( 1 n g ) bersamaan dengan satu per bilion gram. Ini bermakna saiz mikro adalah 1000 kali lebih besar dibandingkan dengan saiz nano dan sebaliknya.
Di dalam dunia elektronik kita mengenali komponen yang dinamakan mikrocip yang bermaksud di dalam cip elektronik tersebut terdapat ribuan bahkan jutaan komponen kecil transistor bersaiz mikro. Jika teknologi elektronik ini berubah dari mikroelektronik  ke nanoelektronik ini bererti komponen-komponen transistor yang digunakan di dalamnya mempunyai saiz nano (10-9) dan telah mencapai suatu tahap yang dinamakan molekular iaitu bahagian jirim terkecil dari suatu unit bahan.
            Sekitar tahun 1920-an, suatu penemuan menggemparkan dalam bidang fizik telah diperkenalkan di beberapa pusat penyelidikan fizik di Heidelberg, Gottingen German dan Copenhagen Denmark. Penemuan yang dimaksudkan ialah mengenai kuantum mekanik dan juga dikenali dengan nama kuantum fizik yang dipelopori oleh Max Planck dan Albert Einstein. Seterusnya ia telah dikembangkan oleh genius-genius fizik selepas itu yang terdiri daripada Neils Bohr, Ervin Schrodinger, Max Born, Werner Heisenberg dan lain-lain.
Penemuan ini secara ringkasnya ialah perubahan teori yang difahami saintis-saintis sebelumnya yang menyatakan bahawa zarah bergerak secara selanjar kepada teori zarah sebenarnya bergerak dalam bentuk diskrit dan ia mempunyai kedua-dua sifat zarah dan gelombang [macam dlm Modern Physics yg kita belajar kat lab hari tu].  Penemuan ini menggoncang saintis dan ahli fizik lain yang telah meyakini teori pergerakan zarah beratus tahun dahulu semenjak zaman Newton. Di suatu sudut lain ekoran penemuan teori kuantum ini ialah kemunculan bidang fizik keadaan pepejal yang diperkenalkan oleh F.Seitz dan fizik semikonduktor oleh J.Bardeen di Amerika dan W.B Shockley di Britain pada tahun 1940-an.
            Kemajuan penyelidikan dalam bidang fizik secara berterusan membolehkan saintis menyelidiki dan menemui berbagai sifat elektrik bahan keadaan pepejal. Dari penyelidikan-penyelidikan ini jugalah saintis menemukan bahan yang bersifat separa konduktor dan separa penebat yang lebih dikenali dengan nama semikonduktor. Penemuan semikonduktor kemudiannya disusuli pula dengan ciptaan komponen elektronik yang terkenal dan merevolusi seluruh kehidupan manusia pada hari ini iaitu transistor menggantikan tiub vakuum pada awalnya. Transistor ini dapat dihubungkan dengan jaringan litar elektronik sebagai komponen terpisah ataupun bersepadu dalam suatu cip.
Pada tahun 1958, dua jurutera terkenal dari dua syarikat yang berbeza iaitu Jack Kilby, di Texas Instrument dan Robert Noyce dari Fairchild memperkenalkan idea penghasilan jaringan litar elektronik bersepadu monolitik yang lebih dikenali dengan nama litar bersepadu ( integrated circuit). Kemajuan bidang mikroelektronik ini menemukan transistor sebagai komponen penting dalam menghasilkan komputer berkuasa tinggi melalui satu litar bersepadu yang mempunyai jutaan komponen transistor di dalamnya.
Pengecilan saiz
Pelbagai produk-produk elektronik yang hadir dalam hidup kita termasuk komputer, televisyen, perakam video kaset, peralatan telekomunikasi dan sebagainya hasil dari perkembangan penyelidikan dan pembangunan teknologi mikroelektronik. Namun begitu teknologi mikroelektronik bukan sahaja membentangkan produk canggih yang sofistikated, malah ia menampilkan bentuk dan ukuran yang semakin lama semakin mengecil dengan prestasi yang lebih berkuasa. 
ABC ( Atonosoff-Berry Computer)

Contoh ketara dalam kehidupan kita hari ini ialah dengan munculnya komputer riba dan juga telefon bimbit. Komputer yang dihasilkan dengan gabungan rangkaian-rangkaian elektronik seperti logik, memori dan sistem angka binari direka oleh J. Presper Eckert dan John W. Mauchly pada tahun 1942 diberi nama ABC ( Atonosoff-Berry Computer). Satu unit komputer ini berukuran sebuah ruang tamu dan diletakkan di dalam bilik khas dan unit pemprosesannya menggunakan 18 ribu unit tiub vakum.

Komputer elektronik generasi pertama yang dikenali dengan nama ENIAC ( Electronic Numerical Integrator And Computer) dibangunkan pada zaman perang dunia kedua dan digunakan dalam pengiraan jarak peluru berpandu yang dilancarkan dalam kegiatan ketenteraan. Perubahan penting dalam dunia elektronik muncul pada tahun 1940-an dimana fungsi tiub vakum yang digunakan dalam perkakas elektronik dan ketenteraan pada waktu itu digantikan dengan penggunaan transistor yang dihasilkan dari bahan semikonduktor. Penggunaan transistor berkembang pesat di awal tahun 1970-an menggantikan tiub vakum disebabkan fungsinya yang jauh lebih baik berbanding penggunaan tiub vakum. Antara kelebihan-kelebihan tersebut ialah;
-         bahan untuk menghasilkan transistor mudah didapati dengan kos yang murah
-         menggunakan tenaga yang lebih rendah
-         boleh berfungsi pada suhu biasa dan tidak perlu dipanaskan terlebih dahulu seperti tiub vakum
-         saiz lebih kecil
-         mempunyai ketahanan yang tinggi dalam tempoh waktu yang lama
Komputer generasi kedua yang menggunakan transistor ialah IBM 1401 yang dilancarkan oleh IBM pada tahun 1959. Kemunculan teknologi litar bersepadu telah memacu penggunaan transistor seterusnya mewujudkan perlumbaan membina komputer yang lebih berkuasa tinggi dengan pelancaran komputer generasi ketiga oleh IBM menggunakan sistem 360. Komputer ini menggunakan litar bersepadu dengan teknologi Large Scale Integration ( LSI ) seterusnya meningkat kepada Very Large Scale Integration ( VLSI ).
Pada tahun 1971, MITS Inc. melancarkan komputer pertama mereka yang dinamakan ALTAIR yang menggunakan mikroprocessor Intel 8080. Komputer elektronik selanjutnya dikembangkan dengan menggunakan mikroprocessor yang lebih kecil saiznya yang berkeupayaan tinggi dengan penggunaan bekalan kuasa yang rendah. Pengaruh kemajuan pesat dalam bidang microelektronik telah mengubah wajah dan lanskap teknologi telekomunikasi dan automotif seluruh dunia.
Selain komputer,  ciptaan alat telekomunikasi berupa telefon bimbit yang semakin hari semakin canggih seakan-akan tidak pernah terhenti penyelidikan dan pembangunannya hasil dari revolusi tenologi mikroelektronik ini. Saban hari kita melihat pelbagai produk yang muncul dengan bentuk dan saiznya yang semakin mengecil dan terus mengecil dengan keupayaannya yang meningkat dan berprestasi tinggi. Pengecilan saiz gajet terpenting dalam kehidupan seharian ini didukung oleh kemampuan para pencipta dan penyelidik mengintegrasikan pelbagai komponen baru yang ukurannya jauh lebih kecil seperti mikrocip dengan kemampuannya yang meningkat seiring dengan perubahan semasa. Kini telefon mudah alih pelbagai fungsi ini mudah dibawa ke mana-mana sahaja.
Era Nanoteknologi
Perkembangan teknologi telah membolehkan bidang elektronik melonjak dari saiz mikro ke saiz nano yang membawa maksud komponen elektronik akan datang dapat dihasilkan dalam ukuran seribu kali lebih kecil dari generasi mikroelektronik sebelumnya. Pada awal tahun 1990-an, Dr. Rohrer yang menemukan ciptaan ’Tunneling Electron Microscope ‘ dan juga penerima anugerah nobel dalam bidang fizik pada tahun 1986, meramalkan bahawa mikroelektronik akan beralih arah kepada nanoelektronik serta kuantum dot dalam masa yang terdekat. Prof. Petel selaku presiden UCLA pula meramalkan bahawa teknologi fotonik akan menggantikan mikroelektronik di awal abad 21 manakala Richard P. Feynman pada tahun 1959 menyatakan bahawa teknologi nano ini akan mengambil tempat pada abad 21. 
Para perintis nanoteknologi iaitu bidang baru dalam teknologi pengecilan saiz bahan dan komponen telah melihat kemungkinan penggunaan bahan berukuran molekul dalam menghasilkan komponen elektronik pada masa hadapan. Dalam teknologi ini, litar-litar elektronik akan mengalami pengecilan sehingga lebih kecil dari garis pusat sehelai rambut malah lebih kecil dari diameter sel darah manusia. Ukuran saiz transistor pada masa akan datang akan menjadi terlalu kecil yang dinamakan kuantum dot.
Pada bulan Mei tahun 1988 dalam satu persidangan mikroelektronik di Pittsburg University, K. Eric Drexler seorang pakar komputer dari Stanford University, Amerika Syarikat telah mengemukakan cadangan pengembangan nanoteknologi pada masa akan datang. Teknologi ini dilihat berdasarkan kemampuan teknologi peralatan terkini menghasilkan peranti elektronik sehingga mencapai tahap ukuran bersaiz atom. Drexler melihat bahawa makhluk hidup yang berupa sel-sel darah dalam badan manusia merupakan bukti penting adanya nanoteknologi. Beliau menghuraikan kemungkinan mencipta komponen atau pun peranti bersaiz molekul yang berfungsi lengkap sebagaimana molekul dari protein yang menjalankan fungsinya dalam tubuh manusia. Beliau juga meramalkan bahawa zaman nanoteknologi ini akan mendominasi abad 21.
Peralihan teknologi dari mikro ke nano ini sudah semestinya memberikan kesan yang signifikan dalam rekabentuk sistem komputer. Molekul-molekul akan dihimpun sehingga membentuk komponen elektronik yang mampu menjalankan tugas-tugas tertentu. Satu keajaiban baru dalam teknologi akan tercipta sekiranya para saintis berupaya menghasilkan nanokomputer yang berupaya berada di suatu perkakas yang bersaiz mikro. Nanokomputer ini mampu bekerja ratusan ribu kali lebih pantas berbanding mikrokomputer elektronik yang ada pada masa kini.
Penyelidikan yang kini dijalankan oleh saintis ialah mengembangkan kaedah-kaedah penggantian bahan protein terhadap molekul, peralatan logik dan memori serta struktur lain yang ada dalam komputer pada masa kini. Jacob Hanker, profesor penyelidik dari University of North Carolina, telah berjaya menghasilkan komponen semikonduktor menggunakan bahan bio.







Peranti-peranti elektronik yang juga dikenali dengan nama kuantum elektronik ini akan memiliki kemampuan mengolah data yang jauh lebih besar dalam sistem komputer. Teknologi kuantum ini akan akan mampu menembusi had dan garisan sempadan yang memisahkan teknologi mikroelektronik pada masa kini. Gergasi pengeluar komputer terkenal di dunia, IBM kini sedang giat melakukan penyelidikan mengenai kuantum komputer yang akan meninggalkan dunia mikrokomputer hasil revolusi mikroelektronik sekiranya ia berjaya dilancarkan. Teknologi terbaru ini dijangka akan mengubah sistem jaringan telekomunikasi di abad ini dengan ciri-ciri terbarunya seperti bersaiz kecil dengan ketahanan yang tinggi, pantas, kawalan secara automatik, pelbagai fungsi serentak yang pintar, penggunaan tenaga yang optimum dan yang lebih penting ialah mesra alam.
Catatan :// Artikel ini muncul dalam Dewan Kosmik April 2007

Saturday, December 25, 2010

Bila Kamu Bising Perihal Krismas

*untuk link asal, klik di sini
بسم الله ارحمن الرحيم


CATATAN//:Sebelum kalian baca, saya ingin memberitahu tujuan entry ini. Sebagai pelajar USIM, kita seringkali dihujani dengan pelbagai soalan-soalan bersifat keagamaan. Contohnya, bolehkah kita menyambut krismas? Malah, menjadi perkara yang memalukan apabila kita gagal menjawabnya. Oleh itu, saya berharap agar artikel-artikel sebegini membantu kita menangani isu-isu semasa disekeliling kita dan berjaya berhujah dengannya. Selamat membaca. Dipetik dari langitilahi.com.

Hari Krismas datang dan....
Hari Krismas datang dan....
25hb Disember just around the corner. Itu antara yang saya nampak.
Tahun ini, 25hb Disember jatuh pada hari jumaat. Jadi tak ada apa-apa perbezaan. Sebab di Jordan, Jumaat memang cuti. Di Jordan tak ada sistem tunda cuti macam Malaysia. Yang kalau ada cuti jatuh hari ahad, cuti digalihkan pada hari Isnin. Jadi, ahli Urdun, boleh buat macam biasa aja la ya.
25 Disember amat sinonim dengan krismas. Disambut oleh orang Kristian sebagai hari kelahiran Nabi Isa AS. Maka timbul lah persoalan-persoalan di dalam diri kita yang berasal dari Negara Malaysia, masyarakat majmuk berbilang bangsa:
Apakah boleh menyambut perayaan krismas?”
Bolehkah bagi hadiah?”
Boleh ke ucap Merry Christmas?”
Jeng jeng jeng….
Apa jawapannya?
Perbezaan pendapat ulama’
Amat sedikit yang berbicara berkenaan menyambut krismas sebenarnya. Semuanya apabila membincangkan perkara ini, akan menyatakan terus perkara ini secara umum di bawah tajuk:
“Hukum menyambut perayaan kaum lain”
Jadi, fatwa-fatwa mereka meliputi Tahun Baru, Thaipusam, Deepavali, Hari Raya Cina, dan seluruh perayaan kaum lain yang wujud di atas dunia ini, selain Islam.
Dalam perkara ini, terdapat dua pecahan pendapat ulama’.
Pertama – Yang Melarang, mengharamkan atas dalil-dalil tertentu.
Kedua – Yang Mengharuskan, membolehkan atas dalil-dalil terntentu.
Saya akan tunjukkan kedua-duanya sekali. Saya harap, janganlah terus dilihat kepada Yang Mengharuskanya terlebih dahulu ya. Saya hendak anda faham kenapa ada ulama’ menyatakannya sebagai haram agar ia masuk dalam konsiderasi kita. Bagi yang mengharuskan, saya hendak anda lihat kenapa mereka sampai boleh mengharuskan.
Selepas kedua pendapat ini saya terangkan, saya akan beri pendapat saya yang kerdil ini.
Pendapat Yang Melarang, Mengharamkan
Antara yang mengharamkan menyambut perayaan kaum lain adalah Muhammad Saleh Al-Munajjid, seorang ulama’ dan ahli majlis fatwa Arab Saudi.
Pendapat beliau berasaskan hadith yang bermaksud:
Barangsiapa yaang meniru syiar sesuatu kaum(bukan islam) maka dia dari kalangan mereka (Riwayat Abu Daud bilangan 4031. Musnad Ahmad ibn Hanbal, bilangan 5093)
Maka di sini, perayaaan-perayaan kaum lain adalah merupakan satu syiar bagi mereka. Muhammad Saleh Al-Munajjid bertegas atas hadith ini. Beliau juga menganggap bahawa, meraikan perayaan kaum lain sama dengan meredhai kekufuran yang sedang menyaluti diri mereka. Hal ini adalah tidak dibenarkan kerana orang Islam sepatutnya berkeras dalam hal ini. Dalilnya adalah:
“Muhammad itu Rasul Allah, dan mereka yang bersama dengannya amat keras terhadap golongan kuffar dan saling berkasih sayang pula sesama mereka(orang Islam)” Surah Al-Fath ayat 29.
Kemudian, Sheikhul Islam Ibn Taimiyyah pula ada mengeluarkan fatwa, seperti berikut:
“Ikut merrayakan hari-hari besar mereka adalah tidak dibolehkan kerana dua alasan”
Alasan yang pertama adalah: Bahawa hal tersebut mengikuti ahli kitab, yang tidak ada dalam ajaran kita, dan tidak ada dalam kebiasaan salaf(yakni zaman Rasulullah, para sahabat dan tabi’in). Mengikutinya bererti mengandungi kerosakan da meinggalkannya terdapat maslahat membezakan kita dan mereka. Bahkan, seandainya kesamaan yang kita lakukan merupakan ketetapan semata, bukan kerana mengambilnya dari mereka, tentu yang disyariatkan adalah berbeza dengannya kerana dengan membezakannya terdapat maslahat seperti yang diisyaratkan tadi. Maka barangsiapa yang megikuti mereka, dia telah kehilangan maslahat ini sekalipun tidak melakukan kerosakkan apa pun. Terlebih lagi kalau dia yang melakukannya.
Alasan yang kedua adalah: Kerana hal itu adalah bid’ah yang diada-adakan. Alasan ini jelas menunjukkan bahawa perkara itu sangat dibenci hukumnya, kerana menyerupai mereka dalam hal itu.
Ibn Taimiyyah menyatakan lagi: “Tidak halal bagi kau muslimin bertasyabuh(menyerupai) mereka dalam hal-hal yang khusus bagi hari raya mereka, seperti makanan, pakaian, mandi, menyalakan lilin, memberikan cuti dari bekerja dan beribadah ataupun selainnya. Tidak halal mengadakan kenduri atau memberi hadiah atau menjual barang-barang yang diperlukan untuk hari raya tersebut.


Ringkasnya, tidak boleh sama sekali melakukan sesuatu yang menyamai ciri mereka dalam syiar mereka pada hari kebesaran mereka itu. (Dalam Iqtidha Siratul Mustaqim, ditahqiq oleh Dr Nahir Al-‘Aql 1/425-426)
Ada juga hadith yang menyatakan larangan ini secara jelasnya, di dalam riwayat Abu Daud dengan urutan sanadnya menepati ciri-ciri Haidth Sohih Bukhari dan Muslim.
Ada seorang lelaki yang datang kepada Rasulullah SAW untuk meminta pendappat kerana dia telah bernazar menyembelih haiwan di Buwanah(satu nama tempat). Maka Rasulullah SAW bertanya: “Apakah di sana(Buwainah) ada berhala, dari berhala-berhala yang disembah jahiliyyah?”
Lelaki itu menjawab: “Tiada”
Baginda bertanya lagi: “Apakah di sana merupakan tempat dilaksanakannya hari raya dari hari raya mereka?”
Dia menjawab: “Tidak”
Maka Nabi bersabda: “Tepatilah Nazarmu kerana sesungguhnya tidak boleh melaksanakan nazar dalam maksiat terhadap Allah dalam hal yang tidak dimiliki oleh anak adam”
Antara dalil-dalil Al-Quran pula adalah:
“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu mentaati orang-orang kafir itu, nescaya mereka hanya akan mengembalikan kamu ke belakang(kekafiran), lalu jadilah kamu orang-orang yang merugi” Surah Ali-Imran ayat 149.
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang yahudi dan nasrani menjadi pemimpin-pemimpin, sebahagian mereka dalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Baragsiapa antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orag itu termasuk dalam golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidakk memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim” Surah Al-Maidah ayat 51.

Jadi di sini dapat kita lihat bagaimana mereka ini boleh mengeluarkan fatwa bahawa menyambut perayaan kaum lain adalah haram, dilarang dan tidak dibolehkan.
Pendapat Yang Megharuskan, Membolehkan
Antara yang mengharuskan, membolehkan adalah ulama’ yang tidak asing lagi di dunia kita hari ini, Dr Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi.
Dia mengeluarkan fatwa menyatakan bahawa adalah boleh bagi kita membalas ucapan selamat hari raya kepada kaum yang menyambut hari raya apabila mereka menyatakannya kepada kita. Dia menyatakan bahawa tindakan itu tidak lebih daripada sekadar bersimpati dan meraikan kebaikan yang orang lain telah lakukan kepada kita.
Bukanlah bermaksud kita mengikuti Aqidah mereka. Dia berkata:
“Ini adalah daripada hak-hak bersama. Jika seseorang ahli kitab datang dan menyampaikan tahniah dengan perayaan kamu(muslim) dan bersama dalam kesedihan dan musibah yang menimpa kamu, mengucapkan pula taakziah kepada kamu. Maka apaka pula larangan untuk kamu mengucapkan tahniah dengan perayaan mereka, dalam kegembiraan mereka, dan mengucapkan takziah dalam musibah yang menimpa mereka? Ini tidak bermakna kita menyambut perayaan itu bersama mereka, adapun ianya hanyalah ucap tahniah semata-mata, dan ini termasuk dalam berbuat baik dan adil yang datang bersama agama ini(Islam)”
Dr Sheikh Yussuf Al-Qaradhawi menukilkan satu ayat Al-Quran dalam ucapannya ini:
“Apabila kamu dihormati dengan satu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik, atau balaslah dengan yang serupa” Surah An-Nisa’ ayat 86.
Paksi kepada fatwa Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi ini adalah:
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka yang tidak memerangi kamu atas agama. Dan tidak pula mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil” Surah Al-Mumtahanah ayat 8.
Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi juga menyatakan bahawa bersama dengan orang bukan Islam dalam urusan teknikal, yakni yang bukan berkaitan dengan Aqidah, seperti bekerja, jamuan, ziarah menziarahi, dan sebagainya adalah dibenarkan. Hal ini kerana, Rasulullah SAW sendiri semasa peristiwa hijrah telah menggunakan khidmat Abdullah ibn Urayqit, seorang yahudi yang pakar dalam petunjuk jalan di padang pasir.


Seorang lagi ulama’ yang juga membenarkan adalah Syeikh Dr Mustafa Zarqa, dia adalah salah seorang dari 10 ulama’ terkenal dunia. Telah meninggal pada tahun 1999.
Beliau menyatakan bolehnya kita mengucap Selamat Hari Raya Krismas kepada rakan Kristian kita. Hal ini kerana, ia termasuk dalam mujammalah(kecantikan, kesopanan) dan keelokan dalam pergaulan. Dia menyatakan bahawa, Islam tidak melarang perbuatan adab dan sopan ini.
Beliau menegaskan bahawa, mujammalah ini tiada kaitan dengan perincian aqidah Kristian terhadap Nabi Isa AS dan sikap keterlaluan orang Kristian dalam Aqidah mereka.
Mujammalah ini juga, dikatakan termasuk dalam sikap tasammuh(toleransi) antara kita dengan orang yang bukan Islam.
Jadi di sini kita dapat melihat pendapat-pendapat yang mengharuskan, yang membolehkan. Saya tidak mahu anda berhenti membaca artikel ini setakat ini sahaja, dan terus mengambil pendapat yang mengharuskan ini. Saya mahu anda melihat pendapat saya.
Pendapat Saya
Ini bukan fatwa atau pendapat baru yang berlainan daripada dua pendapat yang dikeluarkan di atas. Ini hanya pendapat saya, yang saya keluarkan selepas saya memerhatikan dua jenis fatwa di atas.
Saya melihat, yang mengharamkan memegang dalil bahawa jika kita menyambut perayaan itu, maka kita sama dengan orang-orang kafir. Sememangnya, menyamai orang kafir, menyertai aqidah mereka adalah dilarang sama sekali di dalam Islam.
Saya melihat, yang mengharuskan pula memegang dalil tasammuh(toleransi) dan adab sopan sesama manusia.
Di sini pendapat saya bermula.
Pada saya, tidaklah merupakan satu kesalahan jika kita sekadar meraikan kenalan Kristian kita dalam hal Krismas ini. Saya tidak kata kita boleh menyambut krismas, yakni seperti menunggu hingga 12 malam kemudian menyanyi jinggle bell, jinggle bell bersama, kita pakai topi santa clause bersama mereka, kita pun berhibur dengan hiburan mereka dan sebagainya. Saya, tidak menyatakan itu boleh.
Tetapi saya menyatakan bahawa, tidak menjadi satu kesalahan jika kita sekadar meraikan kenalan Kristian kita dalam hal Krismas ini. Apakah maksud meraikan yang saya nyatakan ini?
Meraikan di sini adalah:
Apabila rakan Kristian kita mengajak kita ke jamuan makannya, dan dijamin bahawa makanan yang disediakan halal, tempatnya bersih, maka adalah tidak salah kita memenuhi jemputannya.
Tidak salah juga, semasa kita memenuhi jemputan itu, kita memberikannya hadiah.

Dalam hal pengucapan “Happy Merry Christmas”, saya lebih senang agar kita tidak menyebutkannya. Tetapi bukan dari satu kesalahan untuk kita membalas ucappan Happy Merry Christmas mereka dengan ucapan lain seperti: “Semoga kamu dirahmati juga” atau “May God Bless You” dan sebagainya, dan kita niatkan doa itu agar dia mendapat hidayah daripada Allah SWT.
Yang menjadi kesalahan pada pendapat saya adalah apabila, kita turut bersama mereka memakai pakaian santa clause, kita meniup wisel panjang berbelang itu bersama, Kita menyediakan juga pokok krismas di rumah kita, kita juga menyebut-nyebut kalaulah Santa hadir, kita juga memasak masakkan krismas dan sebagainya. Seakan-akan, itu hari raya kita. Maka itulah yang tidak dibolehkan. Seakan-akan, krismas itu adalah hari raya sebenar kita pula.
Kita kena faham, Krismas adalah hari raya orang lain. Maka, ibarat kita masuk rumah orang lain la. Walaupun tuan rumah kata: “Buatlah macam rumah sendiri” Tapi sebagai tetamu yang beradab, takkan kita nak buat macam rumah sendiri? Kita masih ada adab Islam kita.
Pandangan saya, kita hakikatnya tidak menyambut krismas. Kita hanya meraikan sahabat kenalan kita. Agar mereka menyenangi akhlak kita, tertarik dengan peribadi kita. Kita tidak hadir untuk menyambut krismas yang mereka sambut. Kita hadir untuk menawan hati mereka.
Maka adalah menjadi satu kekurangan apabila kita sendiri menyerupai mereka. Sedangkan sebagai seorag Muslim yang beriman kepada Allah SWT, kita sewajibnya mempunyai tamayyuz(perbezaan) antara peribadi kita dan mereka.
Adalah hakikatnya, cukup sekadar kita menghadiri jamuan yang dijemput, memberikan mereka hadiah ketika berziarah, dan membalas ucapan mereka dengan doa. Sekiranya majlis yang mereka sediakan disertai dengan hiburan yang melampau, percampuran yang bebas, ritual-ritual keagamaan, hendaklah kita menyisih dari tentatif-tentatif itu dengan keluar sebentar, atau sebagainya.
Penutup: Islam bukan agama racist, Islam agama toleransi
Saya tidak nampak pandangan Muhammad Saleh Al-Munajjid, dan Sheikhul Ibn Taimiyyah adalah keras. Dari satu segi, pandangan mereka tepat. Benar, kita tidak boleh menyerupai orang-orang bukan Islam.
Sebab itu, saya berpendapat, menyambut Christmas adalah haram. Saya ulang, menyambut Christmas. Menyambut. Saya ulang lagi, menyambut.
Saya juga tidak nampak pandangan Dr Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi dan Dr Sheikh Mustafa Zarqa itu satu kesalahan. Dari satu segi, pandangan mereka tepat. Benar, kita perlu bertoleransi dan menjaga hubungan baik kita dengan orang-orang bukan Islam. Untuk apa? Menawan hati mereka.
Sebab itu, saya berpendapat, meraikan rakan kita yang menyambut Christmas adalah boleh. Saya ulang, meraikan rakan kita yang menyambut Christmas. Meraikan rakan kita. Saya ulang lagi, meraikan rakan kita.
Kita tidak menyambut Krismas. Kita sekadar meraikan rakan-rakan kita. Ini satu dakwah secara halus yang perlu kita jalankan dengan halus juga. Kita tetap perlu memegang disiplin mu’min dalam diri kita. Kita hadiri majlis mereka dengan prinsip kita yang tidak tergugah. Adab kita masih kita jaga, kekemasan pakaian kita masih kita jaga, kebersihan akhlak kita masih kita jaga. Aqidah kita masih kita jaga.
Saya ulang, kita tidak menyambut krismas. Kita tidak hias rumah kita pada Krismas. Kita juga tidak menanam pokok krismas untuk krismas. Kita tidak buat kek krismas untuk krismas. Kita tidak menanti Santa Clause mahupun mempercayainya. Kita juga tidak pantas menyebut Merry Christmas itu, Merry Christmas ini. Kita juga tidak berdoa dengan doa mereka, kita tidak menyertai aqidah mereka, jauh sekali mempercayai apa yang mereka percaya.
Kita hanya meraikan rakan kita yang menyambut krismas. Kita hanya datang ke jamuan krismas bila dijemput rakan. Hanya makan apabila makanan yang disediakan halal. Hanya memberi hadiah ketika berziarah apabila menerima jemputan. Kita membalas ucapan mereka dengan ucapan kita yang lebih baik(hidayah Allah, apakah yang lebih baik dari hidayah Allah? Kita telah memenuhi ayat An-Nisa’ 86 tadi).
Moga-moga, dengan toleransi penuh berprinsip kita tadi, rakan-rakan Kristian kita tertarik dengan Islam yang kita bawa ke mana-mana, hatta ke dalam majlis mereka.
Apakah di dalam fikiran mereka apabila melihat kita yang amat kemas tadi?
“Wah, orang Islam ini amat berdisiplin ya. Kemas. Akhlak banyak baik”
Itu satu panahan kita terhadap mereka.
Panahan halus, yang kita harap menyentuh jiwa mereka.
Jadi di sini penyelesaian daripada saya dalam masalah menyambut Krismas.
Ps: Kepada sahabat yang bertanya, semoga ini memuaskan.