Friday, December 24, 2010

Kad Krismas Saya Untuk 'Anda'

بسم الله ارحمن الرحيم

*untuk artikel asal, klik di sini..

“Amir, awak rindukan Krismas?” saya bertanya.
Di satu sudut masjid, Amir duduk bersimpuh tersenyum mendengar soalan saya.
Tengah hari itu cuaca di Belfast sungguh sejuk. Hanya tinggal beberapa hari lagi, Krismas tiba. Di sana sini lagu-lagu Krismas berkumandang. Teringat saya kepada suasana Aidilfitri di Malaysia, manusia bagai dipaksa-paksa untuk beremosi dengan lagu raya. Sama ada untuk melakukan barangan, menyuruh anak perantau pulang ke desa, atau dipasang sekadar menandakan musim raya sudah bermula.
Lisburn Road yang selalunya comot lagi suram dengan sentuhan cuaca Ireland Utara, indah berhias dengan pelbagai dekorasi, tidak mengalah dengan kemeriahan di sekitar pusat membeli belah Castle Court di tengah bandar.
“Tidak. Tiada rasa rindu. Tetapi rasa lebih berhubung” jawab Amir dengan tenang.
Amir adalah anak tempatan. Sudah lama memeluk Islam dan tiada gelaran ‘saudara baru’ untuknya lagi.
“Bagaimana pula lebih berhubung?” saya kurang jelas dengan maksudnya.
“Dulu-dulu, saya sekeluarga menyambut Krismas tanpa sebab yang jelas. Malah tanpa sedar, seperti ada kekeliruan antara Jesus dan Santa Claus” jelas pemuda itu.
Amir menggambarkan kepada saya betapa Krismas disambut lebih kepada sebuah adat yang sekular. Tiada intipati agama yang jelas. Hadir ke perhimpunan di gereja pun tidak dirasakan sebagai ritual agama.
“Di Belfast ini, hidup sebagai minoriti menjadikan Muslim lebih menghargai Aidilfitri. Tetapi di negara saya, Ramadan semakin disudahkan dengan perayaan yang semakin sekular. Hilang roh agamanya” saya berkongsi.
“Itulah perbezaan agama minoriti dan majoriti barangkali” Amir menyambung mesej saya tadi.
“Selepas memeluk Islam, awak masih menyambut Krismas?” saya ingin tahu.
“Ya dan tidak” jawabnya ringkas.
“Bagaimana begitu?” saya tidak pasti.
“Ya, saya masih menyambut Krismas dengan pulang menziarahi keluarga saya dan menyertai perhimpunan keluarga kami. Ada hidangan yang saya makan, ada yang tidak. Tetapi saya tidak lagi menyambut Krismas dengan jiwa yang sama seperti mereka kerana saya rasa saya lebih Kristian selepas memeluk Islam!” jelas Amir.
“Oh! Lebih Kristian selepas memeluk Islam? Unik tu!” saya terpinga-pinga.
“Tentu sahaja. Jika dahulu, status Jesus sukar untuk saya hadam ke dalam jiwa dan keyakinan. Tetapi kini segalanya jelas. Maryam dan Isa lebih indah dan suci di dalam Aqidah Islam” ujar pemuda Irish itu.
Amir membacakan kepada saya firman Allah di dalam al-Quran, surah Aal ‘Imraan:
“(Ingatlah) ketika malaikat berkata: “Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang menggembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan) kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di Dunia dan di Akhirat, dan ia juga dari orang-orang yang didampingkan (diberi kemuliaan di sisi Allah). Dan ia akan berkata-kata kepada orang ramai semasa ia masih kecil dalam buaian, dan semasa ia dewasa, dan ia adalah daripada orang-orang yang soleh.” [Aal 'Imraan 3: 45-46]
“Versi Islam untuk Annunciation?” saya menyoal.
Amir tersenyum.
Dia memang tidak banyak berbicara.
“Eh, saya perlu beredar sekarang. Maafkan saya, Imam. Kita jumpa lagi Insya Allah” Amir tiba-tiba bangun. Teringatkan sesuatu barangkali.
“Baiklah. Merry Christmas?” saya memberi ucapan dalam nada menyoal.
“Islamic Christmas?” beliau juga menjawabnya dengan nada menyoal.
Kami ketawa.
KRISMAS DAN PELUANG DAKWAH
Saya teringat kepada pesanan Said Hawwa di dalam risalah Maulid beliau yang terhimpun di dalam kitab Kay Laa Namdhee Ba’eedan ‘an Ihtiyaajaat al-’Asr. Al-Marhum berpesan, biar pun Maulid tidak disambut di zaman Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam atas sebab yang makruf, ia tidak seharusnya menjadi alasan untuk tarikh yang difahami sebagai Maulid al-Rasul itu dibiarkan begitu sahaja. Ramai manusia yang secara otomatik tertanya-tanya apakah tiada sambutan, tiada ceramah, tiada kenduri.
Kesediaan masyarakat untuk ‘diprogramkan’ itu mesti dimanfaatkan oleh pendakwah. Tolaklah ke tepi anasir-anasir yang bersalahan dengan Sunnah. Namun mengapa tidak diadakan majlis ilmu mengingati Rasul sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Mengapa tidak baginda dipuji dan dikenang bersama selawat dengan bahasa syair yang indah, selagi syair itu tidak mengungkapkan syirik dan bid’ah?
Demikian juga perihal Krismas.
Ketika sahabat handai malah mungkin ada yang sanak saudara dan ahli keluarga yang menyambut Krismas kerana agama mereka, mengapa tidak sentimen dan emosi yang wujud dimanfaatkan sebagai peluang dakwah?
Umat Islam harus sudah mampu keluar daripada berulang kali memperdebatkan persoalan hukum mengucap tahniah kepada non-Muslim.
Jadikan sahaja ia peluang dakwah, ungkapkan sesuatu yang lebih Islamik.
Hantarkan kad Krismas yang disertakan dengan petikan-petikan ayat al-Quran yang berbicara tentang Isa dan Maryam.
Beritahu rakan Kristian anda bahawa kita kaum Muslimin juga memuliakan Jesus dan Mary. Namun Risalah Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam datang memurnikan kepercayaan kami mengenainya. Hadiahkan buku-buku yang baik pada menjelaskan tentang Islam serta hubungkaitnya dengan Risalah Jesus. Buku yang sedap dibaca, buku yang tidak mencederakan kasih sayang mereka kepada Jesus dan Mary, tetapi menggunakan kasih sayang itu untuk mengajak mereka kepada Aqidah yang lebih memurnikan cinta seorang mukmin kepada sekalian Rasul, di samping Isa juga bondanya Maryam.
Seperti kata Amir, “saya terasa lebih Kristian selepas memeluk Islam. Lebih dekat dengan Jesus Christ”
Mungkin sudah agak terlambat, tetapi malam itu saya mengerjakan Photoshop untuk membuat kad Krismas berserta petikan al-Quran tentang Jesus dan Mary. Kad itu dikongsikan bersama Jamal, Presiden Belfast Islamic Centre untuk dihantar kepada beberapa klien yang biasa berurusan dengan kami daripada kalangan agensi tempatan.

“Dan peringatkanlah mereka dengan hari-hari Allah. “Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur” [Ibrahim 14: 5







Thursday, December 23, 2010

Melahirkan Saintis : Sahsiah Lebih Utama Daripada Prasarana

Melahirkan Saintis : Sahsiah Lebih Utama Daripada Prasarana


February 19th 2010 | Posted by editor
Oleh : PROF DR. RAUZAH HASHIM
Jabatan Kimia, Universiti Malaya [ 
http://www.kimia.um.edu.my/]

      SEKIRANYA kejayaan sains sesebuah negara atau bangsa dinilai dengan mengira jumlah Pemenang Hadiah Nobel maka kejayaan sains di Malaysia sekarang boleh dikatakan jauh panggang dari api.Harapan murni kepimpinan negara agar suatu hari ada saintis bangsa Malaysia berjaya memperolehnya adalah tidak mustahil. Pelbagai usaha merancang dan merangka untuk menjana `bakat’ Nobel Laureate, juga perlu dipuji.

     Sejak beberapa tahun lalu Akademi Sains Malaysia, MOSTI dan Kementerian Pengajian Tinggi mendahului dalam hal ini melalui Program Nobel Laureate, di mana ramai anak muda yang berbakat dikenal pasti dari awal dan diberi bimbingan yang rapi dan istimewa.Mereka yang berjaya dihantar ke universiti terkemuka di luar negara untuk meneruskan pengajian di peringkat sarjana dan seterusnya. Kementerian Pendidikan juga mempunyai perancangan yang sama tetapi modus operandinya berbeza di mana penekanan tertumpu kepada peningkatan prasana kelengkapan dan teknologi tercanggih dan termoden.

     Singapura juga mempunyai perancangan serupa. Namun bukan untuk Pemenang Hadiah Nobel, tetapi untuk menjana Teknokrat Terkemuka bagi membolehkan mereka cipta teknologi baru seperti yang pernah dicapai oleh anak watannya Sim Wong Hoo. Kejayaan beliau mencipta sistem bunyi digital (siri Soundblaster) untuk komputer peribadi (PC) suatu masa dahulu mendahului teknologi lain dan juga pasaran dunia, sangat dibanggakan. Singapura mahukan lebih ramai bakat seperti beliau.Untuk tujuan tersebut kerajaan Singapura memperuntukkan sejumlah geran yang besar supaya tunas bakat dapat dikenal pasti dan juga diberi didikan istimewa.

      Kebanyakannya pemenang Hadiah Nobel adalah dari negara maju dan hanya segelintir mereka berbangsa Asia yang bermastautin di Barat (contohnya Abdus Salam dan Ahmed Hassan Zewail). Maka anggapan bahawa kemudahan prasana di Barat menjadi faktor penting adalah wajar. Namun begitu bagi saya sahsiah mereka lebih utama.
Tidak dinafikan pemenang Hadiah Nobel atau teknokrat terkemuka seperti Bill Gates adalah manusia teristimewa. Adakah resipi mencipta mereka ini? Dalam beberapa syarahan perdana Nobel Laureate yang saya sendiri hadiri, banyak pertanyaan “apakah rahsia kejayaan mereka” dikemukakan. Rata-rata jawapan sama diberikan, bahawa tiada rahsia dan mereka tidak pernah terfikirkan menjadi Pemenang Hadiah Nobel. Rata-rata mereka menganggap bahawa kejayaan mereka adalah satu kebetulan yang menggembirakan (happy accident) yang ditempa setelah gigih berusaha. Di samping mempunyai sikap kritikal dan kreatif mereka juga mempunyai tumpuan tinggi (fokus) dan daya tahan berkualiti superhuman (manusia luar biasa).

study
      Seorang saintis dan pencipta terkemuka, Thomas Alva Edison, pernah menyatakan bahawa: “Genius is one per cent inspiration and ninety-nine per cent perspirationAs a result, a genius is often a talented person who has simply done all of his homework”.
“Genius adalah satu peratus ilham dan sembilan puluh sembilan peratus hasil titik peluh. Maka genius adalah mereka yang berbakat yang telah menjalankan semua kerja-rumah mereka (iaitu setelah berusaha berlanjutan)”.

      Biografi beberapa pemenang hadiah Nobel atau teknokrat terkemuka mengisahkan hal serupa. Malahan ramai yang mengisahkan bahawa kedaifan prasana menjadi pendorong utama meningkatkan daya kreatif dan daya bertahan.
Wong Woo dalam buku beliau Chaotic Thought of the Old Millenium (Fikiran kacau bagi alaf lama) menceritakan kejayaan beliau banyak diilhamkan dari suasana kampung yang serba kekurangan. Alat muzik budak kampung (kampung boy) yang murah seperti harmonika sebagai pencetus daya kreatifnya.

    Keinginan menukar suasana daif menjadi dorongan utama untuk terus bertahan walau dalam apa cabaran sekalipun.James Lovelock, seorang ahli kimia yang banyak menghasilkan pelbagai ciptaan teknologi (dan beliau sering disamakan dengan Edison) dalam bukunya Homage to Gaia (Menghormati Gaia), juga sependapat bahawa daya cipta beliau meningkat bila bekerja dalam keadaan kurang sempurna. Beliau menambah bahawa sikap kritikal dan tak berkompromi membantu membuat penemuan-penemuan baru. Iaitu kebolehan mencabar idea-idea lama dan melihat arah lain.

      Kalau kita kumpulkan semua butiran sikap (sahsiah) seorang Pemenang Hadiah Nobel atau Teknokrat Terkemuka, bolehkah kita mereka cipta watak ini dalam satu formulasi khusus dan tertentu? Atau mungkinkah kita lebih berjaya dengan menggunakan kaedah rawak dan tidak terencana?
Yang penting adalah usaha dan tumpuan diberikan untuk meningkatkan prasarana dan sistem pembelanjaan kita (di kampung dan juga bandar) “tahap bertamadun tinggi” iaitu sebuah masyarakat yang mencapai taraf mencintai ilmu yang mendalam. Cintakan ilmu kerana ilmu.

     Sekiranya hal ini terlaksana, dengan satu happy accident, watak istimewa muncul tiba-tiba mungkin dari sebuah kampung Felda tersorok. Budak kampung yang menjadi Pemenang Hadiah Novel pertama untuk Malaysia. Ini bukan angan-angan, tetapi satu harapan.

    Walaupun kandungan sistem pembelajaran kita digubal rapi dan dikatakan yang terbaik di rantau ini, namun penghayatan dan pengamalannya tidak menjurus kepada pembetukan sahsiah mencintai ilmu pengetahuan.

     Sistem pembelajaran kita terlalu pentingkan hasil kerana dorongan material atau ganjaran yang dikaitkan kepada berapa `A’ dan berapa tebal sijil yang diperoleh. Dari peringkat sekolah rendah lagi anak-anak kita sibuk mengumpul siji penganugerahan bagi setiap aktiviti walaupun kebanyakannya terlalu remeh, semata-mata kerana ia menjamin mereka ke sekolah yang baik untuk mendapat biasiswa. Di peringkat menegah, ramai guru menasihati para pelajar supaya tidak membaca buku teks tetapi menumpukan perhatian kepada buku latihan, nota ringkas dan contoh jawapan.


       Para pelajar diberi latihan latih tubi lebih daripada 20 kali sebelum peperiksaan. Iaitu menjalani lebih dari 20 set kertas contoh peperiksaan. Program motivasi mengajar teknik menjawab soalan. Trend terbaru memastikan kejayaan cemerlang adalah program bacaan Yasin dan sembahyang hajat beramai-ramai sebelum peperiksaan untuk pelajar beragama Islam.

     Membaca dan sembahyang hajat adalah wajar tetapi bila dilaksanakan secara massa dan sebegitu rupa timbul pertanyaan adakah amalan tersebut ikhlas? Adakah ia berkesan? Adakah ia satu harapan palsu?

    Contoh-contoh di atas hanya sebahagian dari amalan yang menggambarkan penekanan melampau terhadap peperiksaan dan hasilnya. Hasilnya memang jelas, ramai pelajar yang mendapat A. Jadi apa salahnya?

     Ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengalami fenomena overload (lambakan maklumat). Selesai peperiksaan mereka mencampakkan semua buku dan nota secara fizikal dan mental. Mereka penat.

      Di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) mereka mengalami culture shock. Pengajian di IPT memerlukan mereka menimba ilmu pengetahuan yang terkini dan di sempadan terhadapan, tiada lagi nota ringkas, tiada latih tubi, tiada contoh jawapan. Mereka mesti mencari sumber pelajaran sendiri dari menelaah buku-buku dan jurnal dan mencatatkan penemuan terbaru.

     Kaedah suap yang menjadi amalan selama hampir 12 tahun di bangku sekolah tidak melengkapkan mereka menjadi ilmuwan yang mempunyai daya inisiatif tinggi, cekal, tegar dan mencabar. Kebanyakan mereka hanyalah robot yang diprogram untuk berjaya memperoleh A.

    Tidak kurang juga mereka bosan dengan peperiksaan, mereka mengalami sindrom penafian minda. Kebanyakan mereka tercicir dan kebanyakan mereka adalah pelajar lelaki Melayu.
Di peringkat tinggi, terdapat ramai pelajar yang tidak berminat untuk membaca buku. Bila tugasan diberi, ramai yang membuat rujukan menggunakan ensiklopedia kanak-kanak. Daya pemahaman mereka lemah dan tidak dapat membaca ayat panjang. akibatnya mereka tidak berkeupayaan berhujah semula.

     Terperangkap dalam arus mementingkan kecemerlangan hasil, di IPT para pelajar juga mendesak pensyarah memberikan mereka nota ringkas, format soalan dan contoh jawapan. Ilmu yang mutlak tidak lagi penting.
Kini IPT, menara gading bertradisi mendokong ilmu yang tertinggi, juga lebur sedikit demi sedikit untuk menjadi kilang mencetak sijil. Masalah inilah yang harus kita fikirkan bersama. Apa yang lebih penting, ilmu atau sijil?


Catatan:// Tulisan ini pernah muncul di Utusan Malaysia. MajalahSains.Com mengambil inisiatif untuk memuatkan semula rencana ini dengan persetujuan penulis. Admin pula berbesar hati memetiknya daripada MajalahSains.Com dengan berhasrat agar seluruh warga USIM, terutamanya pelajar AP menyahut cabaran bangsa agar menjadi saintist dunia, serta memenuhi kehendak semasa. semoga minda kita sama-sama terbuka dari semasa ke semasa.

Tuesday, December 21, 2010

SUARA ANDA

بسم الله ارحمن الرحيم

   Selepas melancarkan URL blog Applied Physics siang tadi (walaupun tiada majlis pelancaran, huhu..), kami selaku admin berpuas hati dengan feedback  sahabat-sahabat, terutamanya yang tercatat di chatbox pada sidebar blog ini. Tidak disangka-sangka sudah banyak komen yang diutarakan. Terima kasih buat sahabat-sahabat yang memberi komen. Sekurang-kurangnya terubat penat bagi kami, pihak admin blog ini. Selepas saya meneliti statistik pengujung blog ini sebentar tadi, saya sungguh berpuas hati dengan bilangan pengunjung-pengunjung yang mencecah 81 pageview pada hari ini sahaja..

sila klik pada gambar untuk image yang lebih jelas.


Terima kasih lagi sekali diucapkan. Cuma, harapan admin, 
1) silalah tinggalkan sedikit kesan tapak kaki, sekurang-kurangnya, "salam ziarah" pada chatbox
2) kalau lebih rajin, berikan komen atau suara anda di ruangan komen
3) mari kita jadi follower blog ini, boleh follow menggunakan google, yahoo dan lain-lain account.
4) teruskan mengunjung blog ini dari semasa ke semasa.

bagi mana-mana biro atau KETUA-KETUA yang ingin meng update info bagi pihak biro masing-masing, kami mengalu-alukan. Sila khabarkan kepada kami, unit IT, Ruqaiyah dan juga Diyana.




MASALAH INTERNET?

  Demi memahami masalah sesetengah sahabat yang ketiadaan internet, disini kami ingin membantu anda menyelesaikan masalah tersebut. Malahan dunia sekarang memerlukan internet dengan lebih kerap. Dan kami juga berharap agar selepas ini, rajin-rajin kan diri kita membuka blog ini serta group AP USIM 3rd batch di FB, malah, tinggalkan komen..

  Disini terdapat dua pilihan yang bersifat portable, iaitu:

1) Celcom Broadband Prepaid
    -pastikan anda memilki nombor celcom
    -langgan Celcom broadband Weekly atau Daily, bergantung pada anda..
    -hanya taip <broadband daily> atau <broadband weekly> hantar kepada 28882
    -RM6 untuk sehari, RM20 untuk seminggu.

     ataupun, jika anda ada masalah besar dengan perkara ni, sila rujuk sini.

2) Digi Mobile Internet Plan
    







-berdasarkan iklan diatas, perlu untuk memiliki simcard internet digi yang berharga RM25. Tapi,         kelihatan seperti sama dengan celcom. jadi, jika anda ke kedai digi, cuba lah tanya, "kalau sudah memiliki   simcard biasa, bolehkah langgan internet seperti celcom.(simcard biasa lebih murah)"
-yang ni, bayarannya lebih murah, RM2 sehari, RM10 untuk 5 hari..(lebih berbaloi dari celcom..ada ura-ura mengatakan DIGI lebih laju..apa-apa pun, saya belum pernah cuba..)
-untuk maklumat lanjut, sila klik di sini .


okey, nampaknya sekarang anda sidah boleh mengakses internet menggunakan handphone, dimana-mana sahaja. Tetapi, bukan semua masalah selesai dengan internet dalam handphone, kerana masalah resolution screen (screen yang kecil).

jadi, anda boleh menikmati pengaksesan internet dilaptop. bagaimana?

1) bg pengguna handphone LG
--setkan USB connection mode sebagai PC Internet, kemudian, handset anda akan menjadi modem anda.


2) bg pengguna sony ericsson,
--download pc suite dari internet..dan sambung handphone anda ke laptop atau komputer. anda akan dapat menikmati internet akses di laptop anda..


**bagi pengguna handphone lain, saya masih tiada pengetahuan tentang itu..sesiapa yang tahu, boleh kongsikan disini..


sekian, terima kasih..