Tuesday, January 4, 2011

Memperluaskan Sains & Teknologi Negara -- MOSTE tidak bermimpi kosong

بسم الله ارحمن الرحيم
*untuk artikel asal, klik di sini.




SETELAH lebih 17 tahun Program Penggalakan Sains dan Teknologi (PPST) dilaksanakan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (MOSTE), pengalaman yang dilalui telah memberi petanda bahawa golongan pelajar merupakan aset yang amat penting bagi memastikan perluasan ilmu sains dan teknologi (S&T) di negara ini.

Golongan pelajar bukan sahaja pewaris pemerintahan di negara ini malah mereka bakal pencipta sejarah negara sebagai penerima Hadiah Nobel pertama negara.
Hadiah Nobel adalah pengiktirafan tertinggi kepada seorang saintis di seluruh dunia yang melayakkan mereka menerima hadiah wang tunai RM3.8 juta.

Justeru Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar Dato' Dr. Hashim Hassan menegaskan, PPST adalah landasan untuk memastikan cita-cita negara itu tercapai menjelang tahun 2020.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (tengah) ketika berada di Antartika.
Menerusi PPST katanya, galakan diberi sepenuhnya kepada para pelajar untuk melibatkan diri secara langsung dengan bidang S&T.
Pelbagai imbuhan disediakan untuk pelajar yang bergiat cergas dalam bidang S&T termasuk menawarkan biasiswa dan membawa mereka menyaksikan sendiri acara gilang gemilang penyampaian Hadiah Nobel di Stockholm.
DR. HASHIM HASSAN

"Ini semua diadakan untuk memastikan pelajar terus mencintai bidang S&T dan menjadi saintis yang terkemuka di dunia,'' katanya.

Kesungguhan MOSTE untuk menarik minat pelajar dalam bidang S&T sekali gus melahirkan kumpulan saintis muda turut diperlihatkan melalui program kerjasama dengan pihak industri S&T.

"Baru-baru ini kita memberi peluang kepada pelajar sekolah menengah di Melaka untuk melihat sendiri penyelidikan yang dilakukan oleh syarikat Eagle Aircraft iaitu sebuah syarikat yang mempunyai kepakaran dalam teknologi komposit yang disegani di dunia dalam bidang pesawat ringan,'' katanya.

Pelajar juga diberi peluang untuk berdamping dengan saintis tempatan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan melalui sendiri pengalaman menjalankan kajian dan penyelidikan.

"Tujuan kita mengadakan aktiviti ini adalah untuk membimbing pelajar dengan memberi lebih tumpuan membentuk mereka di peringkat awal,'' katanya.

Apabila pelajar yang berpotensi dalam bidang S&T dikenal pasti maka imbuhan seperti biasiswa dan sebagainya perlu diberi untuk memastikan mereka terus mencintai bidang S&T.




"Jika kita tidak ada program seperti PPST maka kita tidak dapat mewujudkan kumpulan saintis muda yang boleh memberi harapan kepada negara,'' katanya.

Untuk itu juga saintis-saintis terkemuka turut diminta memberi bimbingan kepada para pelajar bagi membentuk minda dan sikap pelajar menerusi kecemerlangan S&T.
"Kita adakan kem sains dan pelbagai aktiviti bercorak S&T yang turut melibatkan rakan sebaya yang diiktiraf oleh golongan pakar,'' katanya.


Usaha MOSTE bukan sahaja melibatkan kerjasama dan imbuhan tetapi memastikan prasarana S&T mantap bagi memastikan usaha itu berjaya.

PPST bukan sahaja untuk pelajar di sekolah harian mahupun sekolah berasrama penuh milik Kementerian Pendidikan malah ia diluaskan kepada pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

"Kita beri galakan kepada semua pelajar sekolah untuk bergiat cergas dalam PPST seperti menyertai kem sains, kuiz sains dan reka cipta S&T,'' katanya.

Menurut Hashim, kesan daripada pelaksanaan PPST telah meningkatkan minat pelajar terhadap bidang S&T.

"Tidak boleh disangsikan lagi bahawa PPST telah menyerlahkan minat pelajar terhadap bidang S&T serta mewujudkan suasana yang dapat memupuk minat untuk terus mencintai S&T,'' katanya.
PPST yang dimulakan 17 tahun lalu ternyata berjaya menanam budaya sains di kalangan rakyat negara ini.

Program yang diadakan seperti Ekspedisi Antartika dan Program Angkasawan pertama Malaysia menjelang 2005 ini telah merangsangkan suasana S&T di negara ini.

"Inilah suasana yang kita perlu bagi memberi dorongan kepada pelajar untuk meminati bidang S&T ini,'' katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, para pelajar perlu diberi pengetahuan asas sains, matematik, fizik, kimia dan biologi yang kukuh kerana tanpa pengetahuan itu maka negara tidak akan dapat melahirkan saintis yang berwibawa.

Malah pelajar perlu dilatih dari segi komunikasi, interaksi dan bahasa yang sesuai bagi memberi keyakinan kepada mereka dalam bidang yang diceburi.

Untuk melahirkan saintis muda MOSTE bercadang untuk mengadakan Sains Kebangsaan Junior pada tahun depan.

Science Fair ini akan melibatkan semua pelajar sekolah untuk mempamerkan teknologi yang dicipta oleh pelajar dalam semua bidang sains.

"Ia tidak terikat kepada teknologi komunikasi maklumat atau robotik tetapi keseluruhan bidang sains,'' katanya.

Menerusi ekspo itu, pihaknya akan memilih sekolah yang berpotensi untuk menjana dan melibatkan diri secara aktif dalam bidang S&T itu.

Namun begitu beliau berkata, tumpuan utama MOSTE terhadap pelajar bukan menafikan peranan saintis-saintis senior tempatan dalam bidang S&T.

"Mereka telah mempunyai peranan masing-masing untuk membangunkan bidang S&T malah mereka amat penting dalam memberi bimbingan kepada generasi muda terutama dalam memupuk minat berterusan pelajar terhadap bidang ini,'' katanya.

Hashim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana PPST ini berkata, dalam tempoh pelaksanaan program itu beliau mendapati peningkatan kesedaran orang ramai terhadap bidang S&T.

"Ini juga boleh dilihat dalam penyertaan agensi swasta dan institusi pengajian tinggi serta saintis tempatan dalam pameran dan seminar,'' katanya.


Beliau menegaskan S&T merupakan aspek penting dalam pembangunan negara terutama dalam penyebaran luas k-ekonomi.
Menerusi PPST, beliau berharap masyarakat akan membaca, menyelidik dan menjadikan S&T sebagai budaya ilmu dalam menjana alam dan manusia bagi pengeluaran industri baru berpusatkan pengetahuan.

Sementara itu, MOSTE amat serius dalam PPST dan ini berdasarkan peruntukan bagi pelaksanaan program itu yang berjumlah RM14.65 juta bagi Rancangan Malaysia ke-8 (RMK-8).

Pada tahun lalu, sejumlah RM3.1 juta telah diperuntukkan untuk PPST manakala bagi tahun ini sebanyak RM3.05 juta telah diperuntukkan.Jumlah peruntukan bagi RMK-8 adalah dua kali ganda daripada peruntukan PPST pada RMK-7 yang berjumlah RM7.5 juta.

MOSTE turut memberi peruntukan khas kepada Projek Inovasi Sains, Robofest, Kejuruteraan dan Rekacipta Sekolah Menengah yang merupakan salah satu usaha penggalakan terhadap pelajar sekolah dalam bidang S&T.
Skim ini membantu para pelajar membuat persediaan untuk mengambil bahagian dalam pertandingan penyelidikan S&T, reka cipta dan inovasi anjuran bersama Bahagian Sekolah Kementerian Pendidikan dan Bahagian Sains dan Teknologi, MOSTE.

PPST di peringkat sekolah turut dilaksanakan iaitu melalui kerjasama MOSTE, Kementerian Pendidikan, Akademi Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Lembaga Getah Malaysia bagi melaksanakan aktiviti menarik minat golongan pelajar dalam bidang S&T.

Antara aktiviti itu ialah puisidra S&T, kuiz sains semula jadi, kuiz sains nasional dan kem penyelidikan S&T.Malah pada acara kemuncak PPST iaitu Bulan Sains dan Teknologi Kebangsaan (BSTK) pada bulan September, pelbagai aktiviti melibatkan pelajar dan sekolah turut diadakan.

Pada tahun ini, negeri Johor telah dipilih sebagai tuan rumah bagi majlis pelancaran BSTK 2003 oleh YB Menteri Sains Teknologi dan Alam Sekitar dan YB Menteri Besar Johor pada 26 September ini.


0 comments: